Majlis Pelancaran Pemerkasaan Sektor Pelesenan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor telah diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Jafni Bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
Pemerkasaan Sektor Pelesenan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor adalah inisiatif YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor untuk meningkatkan kecekapan tadbir urus Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor. Ia adalah selaras dengan Visi Maju Johor yang diilhamkan YAB Menteri Besar Johor di bawah Teras Tadbir Urus Kerajaan iaitu untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan.
Pada 9 Mei 2022 yang lalu, Majlis Perbandaran Kluang telah dilantik bagi mengetuai proses penyediaan perancangan dan gerak kerja pemerkasaan Sektor Permohonan Lesen Perniagaan. Hasil daripada pemerkasaan sektor pelesenan tersebut, satu Garis Panduan Permohonan Lesen Perniagaan Bagi Lesen Penjaja dan Lesen Perniagaan Tidak Berisiko Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor telah disiapkan dan dikuatkuasakan di setiap 16 PBT di negeri Johor. Penambahbaikan yang berjaya dilaksanakan adalah seperti pengurangan jumlah dokumen yang diperlukan ketika membuat permohonan, penyeragaman borang permohonan di setiap 16 PBT di negeri Johor dan kelulusan lesen perniagaan dipendekkan kepada tempoh minima satu (1) hari.