MENU

 

logo majlis daerah kluang Utara

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pada tahun 1920, dengan mempunyai 5,000 orang penduduk, Lembaga Bandaran Kluang telah ditubuhkan dengan diketuai oleh seorang Merinyu Kesihatan. Mulai tahun 1932, Pegawai Daerah Kluang menyandang jawatan Presiden Lembaga Bandaran Kluang. Dalam tahun 1957, Lembaga Bandaran Kluang telah dinaik taraf kepada Majlis Bandaran Kluang dengan Pegawai Daerah Kluang sebagai Yang Dipertua. Lima tahun kemudian pada tahun 1962, 5 buah Majlis Tempatan telah di tubuhkan iaitu Majlis Tempatan Kampong Paya, Majlis Tempatan Kampong Gajah, Majlis Tempatan Sri Lalang, Majlis Tempatan Chamek dan Majlis Tempatan Paloh. Dengan langkah penyusunan semula Majlis Tempatan, maka pada 1 Januari 1997 Majlis Bandaran Kluang telah disatukan dengan 5 Majlis Tempatan yang lain bagi membentuk Majlis Daerah Kluang Utara di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Pentadbiran Majlis Daerah Kluang Utara telah diperluaskan dengan merangkumi kawasan seluas 126.5m persegi dengan penduduknya melebihi 65,000 orang.
 
                                                                  logo_majlis_perbandaran_kluang_mpk

 

Perkembangan pesat Bandar Kluang terus menagih perkhidmatan yang cekap dan berkesan. Struktur pentadbiran Majlis Daerah Kluang Utara memerlukan perubahan. Sebagai langkah merintis ke arah perubahan corak pengurusannya, jawatan Yang Dipertua telah diisi sepenuh masa oleh seorang Pegawai Tadbir Negeri Johor mulai 1.3.1999. setelah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan Malaysia dengan persetujuan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia maka Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor melalui Ringkasan Mesyuarat Bil. 86/2001 bertarikh 31 Januari 2001 telah mengambil keputusan menaikkan taraf Majlis Daerah Kluang Utara kepada Majlis Perbandaran dan seterusnya hari pengisytiharaan Majlis Perbandaran Kluang telah diadakan pada 8 Mei 2001.

Majlis Perbandaran Kluang

Majlis Perbandaran Kluang telah diberi kuasa menerusi Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan beberapa akta lain berkaitan serta Undang-undang Kecil untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya. Kedudukan Kluang yang terletak di tengah-tengah Negeri Johor Darul Ta'zim, dikelilingi oleh semua daerah, kecuali daerah Muar dan Johor Bahru. Sehingga kini, keluasan daerah Kluang ialah 285,164.132 hektar. Keluasan kawasan pentadbiran Majlis seluas 185,674.00 hektar. Kluang mudah dihubungi dengan bandar-bandar lain dengan melalui rangkaian jalan raya dan keretapi. Selaras dengan kepesatan pembangunan Negeri Johor, pada tahun 2018, daerah-daerah dalam negeri Johor telah dikehendaki untuk membuat penyelarasan semula rekabentuk Jata pentadbiran mereka dengan memperkemas kebitaraan Daerah. Mengambil kira kekuatan Kluang yang bertunjangkan keretapi sebagai elemen utama kepesatan pembangunan, Majlis Perbandaran Kluang telah memperkenalkan dan seterusnya menggunapakai Jata pentadbiran mereka yang baharu. Diharap semoga pembangunan Kluang terus berkembang dan sentiasa menggapai kejayaan dengan memfokuskan Kluang Sejahtera dan Bandar Berdaya Huni.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 17 Julai 2024 - 11:57am