MENU

Lebih 20,000 penjaja kecil Johor di bawah 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal menerima manfaat daripada pengecualian bayaran lesen penjaja bermula 1 September ini.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata kedudukan kewangan kerajaan negeri yang kukuh diyakini dapat menampung dan tidak menjejaskan hasil PBT di negeri ini.
Katanya, pengecualian bayaran lesen penjaja diberikan kepada semua jenis lesen penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan di pasar malam, pasar sehari atau pagi, penjaja bergerak, penjaja statik dan semua peniaga Bazar Karat.
Dianggarkan pengecualian bayaran lesen penjaja bagi tahun ini membabitkan nilai lebih RM2.11 juta.
"Bagi menampung kehilangan hasil PBT Johor, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kepada PBT dalam bentuk Geran Keseimbangan dan peruntukan pembangunan bagi PBT melaksanakan pelbagai projek dan programnya.
Jumlah penyaluran peruntukan bagi tujuan menampung kehilangan hasil PBT adalah berdasarkan jumlah sebenar pengecualian lesen penjaja pada tahun lepas iaitu sekitar RM1.96 juta," katanya.
Osman berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pengecualian bayaran lesen penjaja negeri Johor, di Jalan Segget, di Johor Bahru malam ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Johor Tan Hong Pin.
Beliau berkata bagaimanapun, bagi hasil lesen penjaja yang sudah dikutip sebelum tarikh penguatkuasaan pengecualian itu, ianya tidak akan dikembalikan.

"Pengecualian itu hanya membabitkan bayaran lesen, namun, syarat lesen dikeluarkan PBT wajib dipatuhi.
"Perlu difahami di sini bahawa semua penjaja tetap wajib membuat permohonan dan mendapatkan kelulusan lesen daripada PBT untuk berniaga bagi tujuan pemantauan serta penguatkuasaan dan pematuhan syarat lesen," katanya.
- Bernama

Kemaskini Terakhir: Rabu, 14 November 2018 - 5:00pm